Lawatan dedah pelatih PLKN mengenai nilai kemasyarakatan, pupuk kesedaran
KISAH menyayat hati penghuni Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu, Selangor cukup mengusik perasaan remaja juga pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengunjungi rumah berkenaan baru-baru ini. Kisah paling tidak dapat dilupakan yang sempat dikorek salah seorang pelatih, Nashazreezul Nasiruddin, 18, ialah bagaimana seorang ibu dibuang anak sendiri di rumah berkenaan.
Berdasarkan cerita nenek berkenaan, anak tunggalnya menghantar dia ke rumah ini buat sementara waktu beberapa tahun lalu. Kononnya dia terpaksa meninggalkan ibunya di situ kerana mahu sambung belajar di luar negara. Anaknya berjanji akan mengambilnya semula sebaik menamatkan pengajiannya tetapi hingga ke hari ini, anaknya itu hilang tanpa khabar berita. Anaknya itu memang sudah menyingkirkannya dan tidak pernah sekalipun datang melawat ibunya itu, katanya.
Lawatan ke rumah orang tua berkenaan mengingatkannya mengenai kepentingan ikatan kasih kepada ibu bapa mahupun ahli keluarga lain. Anak kedua yang lebih senang dengan panggilan along di kalangan rakan mengakui sebelum ini kurang mesra dengan adik beradiknya.
Apabila melihat betapa sedihnya orang tua yang ditinggalkan di sini, saya berazam untuk tidak membiarkan ibu bapa saya untuk berada di sini. Walau macam manapun, seorang anak sepatutnya menjaga ibu bapa mereka sepanjang hayat. Tanggungjawab itu tidak boleh dibebankan kepada orang lain atau kerajaan.
Kebanyakan anak yang meninggalkan ibu bapa mereka di situ adalah berpelajaran tinggi. Bayangkan betapa sunyinya mereka tanpa anak di sisi terutama pada hari perayaan seperti Aidilfitri? katanya.
Nashazreezul tiba di Rumah Ehsan bersama 385 pelatih lain diiringi 44 jurulatih dari kem PLKN Kuala Kubu Bharu, Selangor. Turut hadir, isteri Timbalan Menteri Pertahanan, Datin Zuraidah Endot; isteri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Zuraidah Muhamed dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Sementara itu, S Harineswari Sathiaseelan, 17, yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur, insaf mendengar kisah kejam bagaimana seorang anak sanggup melupakan ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan mereka. Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas yang berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini, berazam tidak sesekali melupakan ibu bapanya walaupun selepas berjaya dalam hidup.
Saya juga anak tunggal dan tidak dapat membayangkan jika membiarkan ibu atau bapa keseorangan di rumah orang tua. Bagi saya, amat salah sekali jika seorang anak menghantar ibu atau bapa mereka ke sini kerana selagi terdaya, sebaiknya anak sendiri menjaga ibu bapa masing-masing. Anak sepatutnya sentiasa berada di sisi ibu bapa semasa mereka menghabiskan sisa usia yang semakin tua, katanya.
Gadis yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dalam negara ini mengakui, tidak dapat melupakan tangisan sayu penghuni di rumah orang tua berkenaan tatkala menerima kunjungan mereka. Harineswari percaya, tangisan itu antara gembira dan sedih kerana sekurang-kurangnya terlepas juga rindu penghuni berkenaan terhadap anak dan keluarga mereka.
Saya berazam untuk tidak memperlakukan ibu bapa saya seperti ini. Saya juga berhasrat untuk menjadi seorang doktor yang baik pada suatu masa nanti agar dapat berbakti kepada golongan memerlukan seperti orang tua begini, katanya..
Shirley Unjong, 17, berasal dari Miri, Sarawak masih terkenangkan kisah seorang nenek yang disingkirkan tiga anak kandungnya sendiri. Biarpun suaminya masih ada di selatan tanah air, nenek itu terpaksa hidup berjauhan dengannya selepas tiada sesiapa sudi menjaganya lagi.
Nenek berkenaan pernah berkahwin, bercerai dan berkahwin semula dengan suaminya yang kini hidup berjauhan dengannya. Anaknya bukan satu tetapi tiga. Namun, tidak seorang pun sudi menjaganya. Saya rasa tidak sepatutnya perkara seperti ini berlaku. Satu perkara yang saya sedari, anak bukanlah penjamin kebahagiaan ibu bapa. Ibu bapa boleh menjaga anak yang ramai tetapi anak yang ramai tidak semestinya boleh menjaga seorang ibu atau bapa sehingga akhir hayat. Saya berharap perkara seumpama ini tidak berlaku kepada diri saya sendiri,katanya.
Abdul Hadi berkata, program lawatan itu adalah antara modul khidmat komuniti anjuran PLKN untuk mendedahkan pelatih mengenai nilai kemasyarakatan bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai kesedaran tanggungjawab sosial. Ia bermatlamat merangsang minat untuk bekerja sebagai sukarelawan dalam masyarakat.